Anda gemar memuatnaik gambar sendiri dan keluarga, juga pelbagai selfie ke laman media sosial seperti Facebook?
Jika ya, agensi keselamatan Internet CyberSecurity Malaysia kini menasihatkan anda agar mengelak daripada berbuat demikian, kononnya bagi menghindarkan ancaman ilmu hitam.
Pegawai komunikasi korporatnya, Jazannul Azriq Aripin berkata terdapat kes yang dilaporkan di mana bomoh menggunakan gambar mangsa yang diperoleh dari Facebook sebagai alat pemujaan ilmu hitam.
“Jangan terkejut jika bomoh sendiri sudah semakin bijak dan mereka mungkin memasang kemudahan jalur lebar tanpa wayar di rumah bagi melancarkan tujuan ilmu hitam mereka.
“Justeru, elak meletakkan gambar sendiri dan gambar bersendirian di Facebook bagi mengelak menjadi ancaman ilmu hitam,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
CyberSecurity Malaysia merupakan satu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dilancarkan pada 2007 oleh perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk memantau aspek keselamatan siber.
Jazannul berkata selain gambar, maklumat peribadi seperti alamat rumah dan nombor telefon juga tidak wajar didedahkan di laman sosial.
Katanya, selain kes penipuan dan bomoh, terdapat pemilik akaun Facebook yang cenderung meletakkan gambar tidak senonoh bekas teman wanita, lalu memburuk-burukkannya kepada rakan lain di media sosial.
“Jika ada aduan mengenainya, kami boleh menghantar aduan ke Facebook supaya akaun itu ditamatkan.
“Kami ingin menasihatkan kepada pasangan kekasih supaya tidak mewujudkan akaun Facebook bersama kerana bimbang ia disalah guna apabila hubungan berakhir di tengah jalan,” beliau dilaporkan berkata.
Sumber : Malay Mail
+
Post a Comment