"INI RUMAH SAYA, MAK DAN AYAH JANGAN MASUK CAMPUR"

+
Gambar Hiasan | Si Tompok Manggis punya gambar

Tengah hari tadi saya mendengar Sembang Sinar di radio Sinar FM. Juruhebah rancangan Sembang Sinar, Abby Fana memetik kata-kata seorang ustaz mengenai "Rumah Mak Ayah, Rumah Anak-Anak". 

Tersentuh hati saya dan menitis air mata saya apabila Abby Fana membaca petikan ini:

"Rumah mak ayah biasanya adalah rumah anak juga. Mereka bebas makan, berkemas dan buat apa saja tanpa adanya halangan dair mak ayah. Tetapi rumah anak belum tentu boleh menjadi rumah mak dan ayah sebab mereka akan rasa tidak selesa nak buat rumah anak seperti rumah mereka sendiri. 

"Kadang-kadang bila mereka mahu makan sesuatu di peti sejuk di rumah anak pun mereka akan meminta kebenaran anak dulu. Nak ubah dan kemas itu ini pun kena minta persetujuan anak sebab ada anak yang tidak suka mak ayah buat rumah mereka seperti rumah sendiri.

"Tetapi mak ayah tidak pernah kisah dengan anak-anak nak buat apa pun di rumah mereka. Ini kerana bagi mak dan ayah, rumah itu adalah rumah mereka bersama. Rumah yang mak ayah tanam dan tabur kasih sayang antara mereka."

Saya setuju dengan kata-kata ustaz ini, Memang ada anak-anak yang sangat cerewet dengan mak ayah sendiri. Ada yang cakap,

"Kalau rumah mak dan ayah sendiri, bolehlah buat macam itu. Ini rumah saya dan biar saya yang uruskan. Mak dan ayah jangan masuk campur," kata-kata seperti ini lebih memedihkan hati mak dan ayah sebab mnereka tidak pernah berkira dengan kita walaupun terpaksa berkorban wang ringgit, harta benda dan tenaga.

Tetapi memang ada anak-anak yang sangat berkira dengan ibu bapa mereka. Mereka terlupa bahawa hidup ini satu putaran. 

Saya teringat pada arwah mak yang pernah tinggal bersama saya. Dia tidak akan buat apa-apa keputusan tanpa bertanya kepada saya walaupun nak memasak, ubah kedudukan perabot di bilik yang dia tinggal. Dia mesti akan meminta kebenaran saya sebab bimbang saya tidak suka.

Tetapi saya beritahu arwah mak, "Rumah Atie ini rumah mak juga. Mak buatlah apa yang mak suka,". 

Alhamdulillah, dia selesa tinggal bersama saya sehingga dia menutup mata di pangkuang saya lima tahun yang lalu. 

Semoga anak-anak yang masih ada mak dan ayah, hargailah mereka. Janganlah terlalu cerewet dengan mak ayah sendiri. Begitu juga dengan menantu, jangan banyak berkira dengan mertua kerana mereka juga adalah mak dan ayah kita. Jika hari ini kita cerewet dengan mak ayah, nanti bila kita sudah tua, anak kita pula yang datang buat perkara yang sama pada kita. Hariyati Ariffin | PIXEL MEDIA
+

Post a Comment

+