REAKSI DS SYAFIE APDAL MENGENAI KEJAIDAN JETI ROBOH

+
“Alhamdulillah, saya selamat dan tiada sebarang kecederaan dan terima kasih semua atas doa dan semoga ALLAH SWT merahmati kita sepanjang masa,” demikian reaksi bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal apabila ditanya wartawan mengenai kejadian jeti roboh yang menimpanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku semasa bersama rombongan pengiring melalui sebuah jeti untuk melawat sebuah perkampungan atas air namun semasa melalui jeti berkenaan ia runtuh menyebabkan beliau dan rombongan terjatuh.

“Adalah menjadi kebiasaan apabila saya pulang ke kawasan untuk hadir ke program-program yang telah diatur, ramai yang mengiringi perjalanan saya. Kebetulan struktur jeti tersebut tidak berapa kukuh untuk menampung semua orang dalam satu-satu masa.

“Ada juga kata-kata yang kurang enak didengar dan ada juga yang mentertawakan di laman-laman sosial, tetapi saya anggap itu perkara biasa, lumrah dalam politik. Saya doakan agar mereka ini diampunkan dosa dan diberikan hidayah oleh ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook telah memuat naik gamabr insiden berkenaan dan menjadi viral di laman sosial.

Namun, bagi beliau itu adalah asam garam kerana beliau melawat kampung-kampung berkenaan untuk cuba membantu melengkapkan keperluan penduduk.

Ini kerana katanya, masih banyak lagi keperluan orang-orang kampung di luar bandar memerlukan bantuan serta perhatian serius kerajaan. 

“Sehingga ke saat ini pun, saya masih lagi dan akan terus melawat kampung-kampung terutama di kawasan Parlimen (Semporna) saya untuk terus mendengar, membantu dan menyelesaikan apa juga masalah yang dibangkitkan yang memerlukan perhatian serta tindakan segera,” katanya lagi. - Siakapkeli.my
+

Post a Comment

+