'BETUL KATA MAK & AYAH, CINTA SAJA TIDAK CUKUP UNTUK MEMBINA RUMAHTANGGA'

+
Pesanan kepada mereka yang belum berkahwin. Kita hanya akan benar-benar mengenali seseorang setelah berkahwin dengannya, tidur sebantal, makan sepinggan, duduk sebumbung. Baru tahu masa itu tidur berdengkur, baru tahu rupanya si dia jenis lepas berak tak reti nak flush, baru tahu cepat stress kalau ada masalah, baru tahu pemarah apabila ditegur, baru tahu dan banyak lagi baru tahu.

Bercinta hatta 10 tahun, bergayut setiap malam, berdating setiap hari belum cukup untuk mengenali seseorang. 

Kahwin bukan hanya soal dating halal, rakam gambar romantik dapat konvo bersama-sama, boleh berpegang tangan, boleh makan bersuap, semuanya sweet-sweet manis-manis sampai diabetes katanya, everything goes smooth all the time and live happily ever after.

Kalau kamu lihat yang indah-indah daripada kawan yang baru berkahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya? Susah payah perit air mata yang disembunyi, siapa yang tahu?

Kita hidup di alam realiti, bukannya fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan amanah dan tanggungjawab yang bakal dipersoalkan. Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk elak maksiat saja tidak cukup untuk kahwin segera sebab jika masa bujang digunakan alasan untuk kahwin untuk pelihara maruah, bagaimana kamu yakin yang kamu dapat menjaga maruah selepas bernikah?

Kalau sebelum berkahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil/sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar/banyak selepas berkahwin? Bersediakah kamu pulang kerja penat, lapar, mengantuk tetapi bersabar apabila isteri tidak masak sebab alahan mengandung/anak meragam? Bolehkah kamu tetap tersenyum, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, uruskan kencik berak dan mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak dan makan sahaja di luar?

Yang perempuan, sudahkah bersedia untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup? Bersediakan menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar dan lesu yang melampau? 

You are giving your life for your children. Jangan mimpi hendak makan, mandi, tidur dengan aman selagi anak masih kecil.

Apabila kamu membentak marahkan orang tua, kenapa susahkan orang nak kahwin padahal kamu yang tidak sedar. Ibubapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas berkahwin itu bukannya mudah. Sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba menghadapi susah sendiri tanpa mengharapkan orang lain sebab berkahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga dan ibu rumahtangga itu tidak mudah!.

Tidak sedikit yang rumahtangganya runtuh disebabkan oleh masalah kewangan, tidak faham dan tidak melaksanakan tanggungjawab, tiada kepercayaan, persefahaman dan lain-lain walaupun asalnya perkahwinan itu diawali dengan atas dasar cinta yang mendalam.
Malangnya kita hanya menyedari kesemua itu setelah berkahwin. Untuk menjayakan hidup berumahtangga, cinta saja tidak cukup rupanya. Barulah kita sedar quote 'rezeki setelah nikah' itu perlu diusahakan dan disertakan dengan ujian, bukannya terus bergolek masuk dalam mulut. Cuma ketika itu baru kita sedar, 

"Betul apa yang mak dan ayah katakan, Cinta Saja Tidak Cukup,"

Kak Jie Nazirah & Saya Gja..Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM
+

Post a Comment

+