KANTOI, DUA BERADIK DICEKUP KETIKA 'MEMANCING' DUIT MASJID

+
TUMPAT 6 Mac – Dua beradik dicekup oleh anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kubang Batang/Menjual ketika sedang ‘memancing’ duit tabung Masjid Mukim Kubang Batang, dekat sini hari ini. 

Tindakan kedua-dua pemuda berusia 20-an itu disedari oleh anggota SRS kira-kira pukul 2 pagi selepas ternampak kelibat mereka memasuki pekarangan masjid tersebut.

Timbalan Ketua SRS KRT Kubang Batang/Menjual, Kamaruzaman Musa berkata, sebaik sahaja melihat kelibat dua beradik itu anggotanya mengepung kawasan tersebut bagi mengelakkan mereka terlepas.

Menurutnya, mereka kemudiannya secara perlahan-lahan masuk ke dalam masjid dan mendapati kedua-dua suspek sedang ‘memancing’ duit dari tabung menggunakan dawai.

“Menyedari kehadiran anggota SRS, kedua-dua suspek cuba me­larikan diri, bagaimanapun nasib tidak menyebelahi apabila mereka berjaya ditangkap.


SEBAHAGIAN daripada wang yang dipercayai dicuri dari tabung di Masjid Mukim Kubang Batang, Tumpat, Kelantan, semalam. (Foto Utusan) 

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan membawa kepada pe­nemuan wang tunai berjumlah RM79 dalam poket salah seorang suspek,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Polis da­erah, Superintenden Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut.

“Polis menahan dua-dua suspek untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Difahamkan, ini merupakan kali kedua masjid tersebut dipecah masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri wang tabung.

Utusan Malaysia 10 Mac 2015 lalu, melaporkan dua remaja berusia 17 dan 18 tahun dicekup oleh anggota SRS KRT Batang/Menjual ketika sedang ‘memancing’ duit dari tabung masjid yang sama.- Utusan
+

Post a Comment

+