LELAKI MYANMAR MAUT DIBELASAH DALAM PERGADUHAN DI RELAU

+
GEORGE TOWN – Seorang buruh binaan warga Myanmar maut dipukul sekumpulan lelaki yang juga rakan sekerjanya di tapak pembinaan sebuah kondominium di Kampung Batak, Relau dekat sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Siti Nor Salawati Saad berkata mayat lelaki berumur lingkungan 20-an itu ditemukan beberapa pekerja lain dalam keadaan terbaring di tapak pembinaan itu kira-kira 11.30 malam.

“Mayat mangsa berlumuran darah dan terdapat beberapa kesan lebam serta luka di badan. Bahagian kepalanya cedera parah dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya di sini Ahad.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai bergaduh dengan beberapa rakannya yang juga warga Myanmar, namun punca pergaduhan itu tidak diketahui.

Katanya pihak polis difahamkan ketika kejadian, mereka semua berada dalam keadaan mabuk dan pergaduhan itu dipercayai membabitkan lebih daripada lima orang.

“Sekumpulan pekerja asing itu termasuk mangsa tidak bekerja dan telah keluar bersama dan mabuk sebelum berlaku pergaduhan antara mereka di tapak pembinaan berkenaan,” katanya.

Siti Nor Salawati berkata suspek dalam pergaduhan itu melarikan diri sebaik menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

Katanya usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan dipercayai mereka masih berada di sekitar negeri ini.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek kejadian itu agar segera menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA
+

Post a Comment

+