KAMI TIADA HAK UNTUK SIARKAN-LUAH WARTAWAN

+
KUCHING - Heboh di laman-laman Facebook berasaskan negeri Sarawak memuat naik status yang mendakwa media tempatan tidak 'berminat' menyiarkan isu banjir di negeri itu. 

Sehingga ada yang mendakwa pihak media bersikap berat sebelah dan lebih mengutamakan negeri-negeri di Semenanjung. Turut dikaitkan sama ialah RTM 1, siaran televisyen milik kerajaan juga kurang membuat liputan banjir di Sarawak. 

Barangkali terasa dengan dakwaan itu, tampil seorang kakitangan RTM, menjelaskan perkara yang sebenar. 

"Saya tidak pernah meminta, tetapi kali ini saya memohon sebab saya kerja di TV1. Saya sendiri turun padang buat liputan, begitu juga dengan rakan-rakan media yang lain. 

"Kami hantar berita setiap masa sama ada berita radio atau televisyen. Saya buat standupper dari bot, baju seluar basah malah selipar hampir hilang dihanyutkan air. 

"Walaupun begitu, saya cuba mencari berita yang terbaik. Mungkin kerana kekangan kakitangan, kami tidak mampu pergi ke kawasan yang terjejas. Tetapi kami menggunakan laporan dari pihak Bomba dan JPAM untuk berita kami. 

"Maaf kalau kami tidak mampu membuat liputan secara menyeluruh. Apa yang pasti, kami turun padang dan membuat liputan, mencari bahan, menghantar bahan walaupun kami terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak kerana tugas. 

"Tetapi bila hak untuk menyiarkan, kami tiada hak. Kami cuma mampu menghantar. Hak menyiarkan bahan yang diberikan itu adalah hak orang 'sana'. Jangan salahkan kami. BES RTM Sarawak sentiasa ada membuat liputan," katanya. - PIXEL MEDIA
+

Post a Comment

+