VIDEO:KJ BERSUARA"SAMPAI BILA, TAKKAN NAK SURUH RAKYAT JALAN KAKI"

+
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin atau KJ bersuara kepada kerajaan supaya menghentikan sebarang keputusan yang akan membuatkan ekonomi rakyat terbeban.

Amaran tersebut dikeluarkan oleh KJ apabila rakyat terus dihimpit dengan tekanan ekonomi termasuklah kenaikan harga tambang ERL, LRT, Komuter dan Monorel.

"Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat.

"Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah.

"Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu Kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough," katanya memetik laporan mStar Online.

KJ juga berkata dia memberi tempoh kepada kerajaan selama dua tahun untuk kerajaan membuktikan manfaat hasil dari kenaikan yang berlaku.

"Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja.

"Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka," katanya.

Tambah KJ lagi, Pemuda Umno berharap golongan muda akan diberikan diskaun khusus oleh kerajaan untuk menggunakan pengangkutan awam sebagaimana yang dinikmati oleh wara emas.

"Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki?

"Saya tengok kesan kenaikan tambang Komuter contohnya, begitu membebankan. Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini," katanya.
KJ berkata sedemikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2015 hari ini. - Siakapkeli.my
+

Post a Comment

+