SALMAN KHAN BEBAS HUKUMAN 5 TAHUN PENJARA "KES LANGGAR LARI"

+
MUMBAI – Demi memastikan industri perfileman Bollywood tidak terjejas, sebuah mahkamah India melepaskan pelakon terkenal, Salman Khan daripada semua tuduhan dalam kejadian langgar lari pada tahun 2002.

Perubahan itu bertentangan dengan keputusan penghakiman pada awal Mei lalu apabila sebuah mahkamah jenayah menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya atas kesalahan menyebabkan kematian.

Hakim pada ketika itu memutuskan, semasa kejadian 13 tahun lalu, aktor berusia 49 tahun itu didapati hilang kawalan ke atas kereta SUV yang dipandunya, disebabkan oleh pengaruh arak melebihi had dibenarkan.

Akibat nahas itu, kereta Toyota Land Cruiser tersebut merempuh sekumpulan orang gelandangan yang tidur di tepi jalan di luar sebuah kedai bakeri American Express di daerah Bandra pada 28 September 2002 lalu.

Seorang lelaki tempatan, Noor Ullah Khan, 38 tahun; meninggal dunia manakala empat yang lain cedera akibat digilis kereta berwarna putih milik Salman Khan atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Salim Salman Khan.

Peguam belanya sejak dahulu lagi mendakwa, pemandu peribadinya sedang memandu ketika kejadian dan bukan pelakon itu yang telah membintangi lebih 100 judul filem dan drama TV sejak aktif dalam dunia seni pada 1988.

Berita itu mendapat liputan luas media tempatan kerana ‘kecekapan’ Salman Khan mengeksploitasi kelemahan sistem perundangan India membolehkan dia beberapa kali dilepaskan walaupun memang jelas dia bersalah.

Ribuan peminatnya termasuk artis-artis sanggup berkumpul di luar mahkamah bagi memberi sokongan moral dan berdoa ke atas Salman Khan berbanding tidak bersimpati atas nasib gelandangan yang terbunuh dalam nahas itu.
Seramai 64 orang saksi dipanggil pihak pendakwa raya selain puluhan bahan bukti termasuk kesan kemekan pada bahagian bampar hadapan kereta SUV jenama popular buatan Jepun itu sebagai impak pelanggaran teruk.

Kematian mangsa dalam tragedi itu bagaimanapun tidak mendapat pembelaan ramai pihak, sebaliknya media India lebih memperbesarkan nasib filem Bollywood sepanjang lima tahun jika Salman Khan dihukum penjara.

Pelakon Hindi itu bahkan hanya berjaya didakwa pada 24 Julai 2013 sebelum Hakim D W Deshpande pada 6 Mei lalu mengesahkan Salman bersalah, namun pelaksanaan hukuman tersebut pula berjaya ditangguhkan sementara.

Ironi, menurut undang-undang jalan raya di India, pesalah kes trafik yang menyebabkan kematian terhadap pejalan kaki boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
+

Post a Comment

+