HANS ISAAC, NORMAN KRUDAN ZIELA JALIL DAPAT GELARAN DATUK

+
KUANTAN – Tiga anak seni terkenal tempatan menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Sabtu, menurut laporanBernama.

Mereka ialah aktor Gerald Hans Isaac, atau lebih dikenali sebagai Hans Isaac; penyanyi Norman Abdul Halim atau Norman KRU; serta aktres, Norzilah Abdul Jalil atau Ziela Jalil.

Hans Isaac ialah Pengarah Urusan Tall Order Sdn. Bhd., Norman KRU ialah Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn. Bhd., sementara Ziela Jalil ialah Pengarah Urusan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd.

Mereka antara 256 penerima darjah kebesaran dan pingat bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar di Pekan pada 6 Februari.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara, Senator Datuk Doris Sophia Ahmad Brodi mendahului senarai antara 14 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat peringkat pertama itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hans Isaac, 44 tahun, pernah dinobatkan sebagai Pembantu Pelakon terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia ke-19 (2006) menerusi filem Buli Balik.

Beliau juga menerima anugerah Artis bukan Melayu Popular dalam Anugerah Bintang Popular anjuran akhbar Berita Harian pada 2002 dan 2003.

Filem terbaharu yang dibintanginya ialah Nota, filem genre psiko/jenayah yang diarahkan oleh Yasu Tanaka dan turut dibintangi aktres Maya Karin.

Norman KRU, 44 tahun; merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan KRU. Beliau juga menjadi Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia mulai 2010.

Ziela Jalil, 45 tahun; mula menceburi bidang lakonan di bawah pengarah A R Badul melalui filem lawak, Mr Os.

Beliau pernah turut mendapat bimbingan daripada pengarah terkenal seperti Aziz Sattar menerusi Perawan Malam dan Othman Hafsham melalui Ujang.

Ziela menubuhkan Pena Creative Pictures Sdn Bhd untuk menerbitkan drama televisyen. – BERNAMA/Mynewshub.cc/HAA
+

Post a Comment

+